-->

PENGERTIAN JANJI ALLAH SWT (syarah al-hikam ke 07)

Alhikam
JANGAN SAMPAI MERAGUKAN KAMU TERHADAP JANJI  ALLAH  KERANA TIDAK TERLAKSANA APA YANG TELAH DIJANJIKAN, MESKIPUN TELAH TERTENTU (TIBA)   MASANYA, SUPAYA KERAGUAN ITU TIDAK MEROSAKKAN MATA HATI KAMU DAN TIDAK MEMADAMKAN CAHAYA SIR (RAHSIA ATAU BATIN) KAMU.

Doa dan janji Allah s.w.t berkait rapat. 
Allah s.w.t menjanjikan untuk menerima semua doa. 
Hamba sudah sangat kuat dan kerap berdoa. Hamba mendoakan agar diselamatkan daripada sesuatu musibah.
 Masa musibah itu sampai sudah tiba tetapi keselamatan daripadanya tidak tiba. Timbul keraguan dalam hati hamba itu tentang janji-janji Allah s.w.t.

Sebahagian orang beriman diuji dengan penerimaan atau penolakan doa dan sebahagian yang lain diuji dengan tertunai atau tertahan janji Allah s.w.t.
 Janji Allah s.w.t ada dalam bentuk umum dan ada dalam bentuk khusus. 
Janji umum banyak terdapat di dalam al-Quran seperti janji syurga terhadap orang yang berbuat kebajikan, janji neraka terhadap orang yang derhaka, janji ketinggian darjat bagi orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t, janji kekuasaan di atas muka bumi terhadap orang yang beriman dan beramal salih dan lain-lain lagi.
 Di dalam surah an-Nisaa’ ayat 95 Allah s.w.t  menjanjikan ganjaran yang besar kepada orang yang berjihad pada jalan-Nya. 
Dalam surah an-Nur ayat 55 Allah s.w.t menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal salih bahawa mereka akan dijadikan khalifah di bumi, Dia akan teguhkan agama mereka dan Dia akan hilangkan ketakutan mereka.

Banyak lagi janji Allah s.w.t yang boleh ditemui di dalam al-Quran. Janji-janji Allah s.w.t secara umumnya berkaitan dengan amal, sesuai dengan sunnatullah yang menguasai perjalanan kehidupan.
 Ada juga janji secara khusus kepada orang-orang tertentu, misalnya melalui mimpi atau suara ghaib.
 Orang yang beriman dengan Allah s.w.t percaya kepada janji-janji-Nya. 
Janji Allah s.w.t menjadi pendorong kepada mereka untuk bekerja kuat, beramal salih dan berjihad pada jalan-Nya. 
Allah s.w.t tidak sekali-kali akan memungkiri janji-janji-Nya. 
Di dalam golongan yang percaya kepada janji-janji Allah s.w.t itu ada sebilangan yang berpenyakit seperti yang dihidapi oleh sebilangan orang yang berdoa kepada Allah s.w.t. 

Orang yang berdoa membuat tuntutan dengan doanya dan orang yang percaya kepada janji Allah s.w.t membuat tuntutan dengan amalnya, kerana Allah s.w.t berjanji memberinya sesuatu menurut amalannya.

Hikmat ketujuh mengaitkan janji Allah s.w.t  dengan mata hati dan Nur Sir (Rahsia atau batin). Persoalan mata hati telah disentuh pada Hikmat ke lima. 
Penyingkapan rahsia mata hati menemukan kita dengan persoalan diri zahir, diri batin dan seterusnya kepada persoalan roh. 
Suluhan mata hati membawa kepada pengenalan terhadap Alam Barzakh dan keabadian. Mata hati yang kuat tidak berhenti setakat Alam Barzakh, malah ia menghala kepada peringkat alam yang lebih tinggi yang dinamakan Alam Malakut Atas. Pandangan mata hati seterusnya sampai kepada kulit alam yang dinamakan Arasy Yang Meliputi. Semua makhluk Allah s.w.t menghuni ruang yang di dalam atau dibatasi oleh kulit atau kerangka alam, iaitu Arasy. Tidak ada mahluk yang wujud di luar dari kulit alam. Walaupun kulit alam merupakan kejadian Tuhan yang paling luar namun, mata hati tidak berhenti setakat itu. Mata hati terus meneroka ‘di luar’ dari kulit alam, yang dipanggil Wujud ketuhanan. Di sini timbul persoalan berat dan rumit untuk dihuraikan. Semua kejadian berada di dalam kulit alam. Kulit alam adalah yang terakhir. Apabila sampai kepada kulit alam tidak boleh lagi dikatakan wujud alam ketuhanan di luar, selepas, di sebalik dan istilah-istilah lain, kerana tidak ada apa-apa lagi. Kewujudan ketuhanan bukanlah satu jenis alam lain. Tidak boleh dikatakan wujud alam ketuhanan selepas alam kita ini. Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri, tidak menempati ruang. Jika demikian persoalannya bagaimanakah yang dikatakan ketuhanan sedangkan kita sudah menjelajah ke seluruh alam maya namun, Allah s.w.t tidak juga ditemui?
Antara alam yang sementara dengan alam abadi terdapat Alam Barzakh. Barzakh adalah sempadan. Barzakh itulah yang menghubungkan dua keadaan yang berbeza. Misalnya, barzakh bagi laut dan sungai ialah kuala. Air laut adalah masin dan air sungai adalah tawar. Air pada barzakh keduanya iaitu kuala adalah sebatian masin dengan tawar yang dinamakan payau. Payau bukan masin dan bukan lain daripada masin. Payau juga bukan tawar dan bukan lain daripada tawar. Kuala bukan laut dan bukan sungai dan bukan juga lain daripada laut dan sungai. Jika mahu lihat laut dan sungai dengan sekali pandang atau sebagai satu kewujudan maka lihatlah kepada kuala. Jika mahu merasai masin dan tawar sekaligus maka rasailah air payau.
Jika terdapat barzakh di antara makhluk dengan makhluk, terdapat juga barzakh di antara Tuhan dengan makhluk. Barzakh inilah yang menjadi penghubung di antara Tuhan dengan hamba. Tanpa barzakh ini tidak mungkin berlaku kewujudan makhluk yang diciptakan Tuhan kerana tidak ada talian atau jambatan yang menghubung. Barzakh di antara Allah s.w.t dengan hamba itu dinamakan Sir atau Rahsia, iaitu Rahsia Allah s.w.t, yang hanya Allah s.w.t yang mengetahui hakikatnya yang sebenar. Rahsia inilah yang memungkinkan ada hubungan di antara Pencipta dengan yang di cipta. Sir atau Rahsia itu memancarkan nurnya kepada mata hati. Mata hati yang bersuluhkan  Nur Sir (rahsia ketuhanan) akan mendapat pengenalan tentang Sir dan mengalami suasana tauhid  peringkat yang tertinggi. Apabila hakikat Sir ditemui nyatalah firman Allah s.w.t:

Dan Kami adalah lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, - ( Ayat 16 : Surah Qaaf )

Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada. ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid )

Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!”( Ayat 96 : Surah as-Saaffaat )
PENGERTIAN JANJI ALLAH SWT (syarah al-hikam ke 07) Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Unknown